ADN Permatang Rozana Zainal Abidin (kiri) turun padang menyampaikan bakul makanan kepada warga emas kelainan upaya (OKU) di Kampung Tiram Setia pada 13 Jun 2021. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Program bantuan keperluan asas DUN Permatang manfaat 1,000 keluarga

SHAH ALAM, 17 JULAI: Dua program bantuan digerakkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang sejak awal tahun ini memanfaatkan 1,000 keluarga yang terkesan akibat pandemik.

Wakil rakyatnya berkata inisiatif #PermatangPeduli merangkumi pemberian barangan asas seperti lima kilogram beras, gula, garam, minyak masak, biskut, sardin, susu pekat dan bihun bernilai RM80.

Rozana Zainal Abidin menjelaskan sumbangan #KakakCare pula membekalkan lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, susu formula serta tuala wanita.

“Jika ada aduan penduduk terputus bekalan makanan atau keluarga sedang menjalani kuarantin di rumah, pek #PermatangPeduli terus disampaikan kepada pemohon atau diwakili pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Pada masa sama, kita juga menyegerakan bantuan kepada keluarga yang menaikkan bendera putih menandakan mereka memerlukan bekalan makanan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kesemua agihan menggunakan peruntukan disalurkan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor serta sumbangan peribadi bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan terbabit.

“Kita akan pastikan edaran kepada penduduk kampung secara menyeluruh kerana ada yang masih terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” katanya lagi.


Pengarang :