Selangorkini
Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) bergambar selepas menerima suntikan dos pertama vaksin di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Selangor di pusat pemberian vaksin (PPV), Evo Mall, Bangi, semalam. Foto KDEB Waste Management (KDEBWM)
AGENDA NASIONAL

Program vaksin negeri langkah tepat atasi Covid-19 – STFC

SHAH ALAM, 1 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) merupakan langkah tepat mengurangkan jangkitan Covid-19 di negeri ini sekali gus melandaikan lekuk penularan wabak.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata ia mempunyai peranan tersendiri dan sesuai dijalankan ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukan mudah menghapuskan Covid-19 di Selangor kerana berkait rapat dengan kepadatan penduduk dan kepesatan industri. Jadi tiga langkah ini iaitu PKP, pengesanan kes dan vaksin perlu berjalan serentak.

“STFC cadangkan Selvax supaya dapat membantu kerajaan mencapai pembentukan imuniti kelompok lebih cepat,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada SelangorKini.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan program vaksin meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Manakala Selvax Industri merupakan program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja melibatkan dua juta dos.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.


Pengarang :