Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen empat peratus untuk dua Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PTPTN sedia pelbagai kemudahan dalam talian, mudahkan urusan ketika pandemik

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan pelbagai kemudahan dalam talian bagi memastikan urusan pelanggan tidak terjejas walaupun perkhidmatan kaunternya di seluruh negara ditutup ekoran pandemik Covid-19.

PTPTN dalam kenyataan hari ini berkata pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan bagi urusan permohonan pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun dan penambahan deposit dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) disaran menggunakan pelbagai kemudahan dalam talian yang disediakan.

Menurutnya permohonan pinjaman pendidikan dan semakan wang pendahuluan pinjaman (WPP) juga boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN di http://www.ptptn.gov.my.

Bagi urusan bayaran balik pinjaman pula, menurutnya tujuh kemudahan perkhidmatan dalam talian disediakan termasuk bayaran melalui saluran fpx menggunakan akaun bank atau kad kredit, semakan penyata pinjaman, permohonan pemotongan gaji dan debit terus.

Selain itu portal rasmi PTPTN turut menyediakan kemudahan bayaran balik pinjaman melalui pelbagai saluran aplikasi telefon mudah alih seperti MyPay, Shopee, BESTPay, KiplePay, KelantanPay, perbankan internet seperti JomPay serta perkhidmatan e-Pay di terminal lokasi terpilih, dan kemudahan sama turut disediakan di portal rasmi perbadanan, serta di pelbagai saluran bagi urusan berkaitan SSPN.

Pelanggan juga boleh menghubungi PTPTN di Careline PTPTN di 03-2193 3000, live chat di http://www.ptptn.gov.my, e-aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/, eksekutif pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn atau di pelbagai akaun media sosial rasmi PTPTN.

-BERNAMA

 


Pengarang :