Sebahagian pesakit Covid-19 yang hadir bagi menjalani penilaian kesihatan ketika tinjauan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam pada 14 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pusat nilai Covid-19 dibuka setiap hari, atasi limpahan pesakit

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor akan dibuka setiap hari berbanding Isnin hingga Jumaat seperti sebelum ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu telah dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam pertemuan mereka semalam susulan kesesakan berlaku di Stadium Malawati dan Sri Andalas.

“Hal ini bagi mengatasi limpahan pesakit Covid-19 ketika hujung minggu yang dibawa sehingga Isnin. Justeru, saya menyuarakan kepadanya (Dr Noor Hisham) dan beliau setuju pusat penilaian dibuka setiap hari.

“Mereka yang didapati positif Covid-19 pada hari minggu masih boleh hadir ke CAC dan menilai tahap kesihatan pada hari tersebut,” katanya ketika bersiaran secara langsung menerusi Agenda Awani bertajuk Mengurus Peningkatan Kes Di Selangor di Astro Awani malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan memperluas promosi kewujudan CAC di daerah lain bagi mengatasi kesesakan seperti yang berlaku di Stadium Malawati dan Sri Andalas.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman baru-baru ini berkata sebanyak 34 CAC telah disediakan di seluruh daerah bertujuan menilai pesakit Covid-19.

CAC ditubuhkan pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :