Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Pusat nilai Covid-19 mini dibuka di Flat Taman Samudera Timur

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sebuah pusat penilaian Covid-19 (CAC) mini dibuka hari ini di Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam.

Pegawai Daerah Gombak Shukri Mohamad Hamin berkata CAC itu dibuka untuk pemantauan dan penilaian kesihatan penduduk dijangkiti Covid-19.

“Berdasarkan rekod sejak 1 hingga 16 Julai, terdapat 87 kes positif dan ada sebahagiannya mempunyai masalah kesihatan serta perlu dipantau.

“Selain memudahkan penilaian dan pemantauan, dewan ini juga dijadikan pusat vaksin pada minggu hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata seramai 3,300 penduduk membabitkan 650 unit rumah di flat berkenaan akan menjalani saringan Covid-19 di tiga khemah disediakan dilakukan secara berperingkat mengikut blok bermula Rabu ini.

“Pada masa sama, bantuan keperluan asas kepada semua diagih semalam hasil sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Penyelaras DUN Gombak Setia dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI),” katanya.

Pada 16 Julai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuat kuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.


Pengarang :