Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kiri), Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Siantan, Kapten Ahmad Othman (tengah) dan Setiausaha Surau An-Naim, Syed Ahmad Tarmizi Syed Mohamad (kiri) menunjukkan surat pemindahan pusat penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Sukan Taman Sri Andalas ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 28 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pusat nilai Covid-19 Sri Andalas dipindah ke Pelabuhan Klang

KLANG, 28 JULAI: Operasi pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Taman Sri Andalas di sini berakhir esok dan dipindahkan ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata CAC di kawasan baharu itu akan bermula Jumaat ini.

“Perbincangan dilakukan bersama Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri Dato’ Nor Azmie Diron pada 25 Julai lalu dan keputusan pemindahan dibuat serta-merta.

“Pemilihan lokasi baharu ini mengambil kira aspek kedudukan jauh dari komuniti penduduk, kemudahan parkir dan berhampiran dengan fasiliti kesihatan,” katanya pada sidang media di Surau An Naim di sini.

EXCO hal ehwal agama Islam menjelaskan pemindahan itu juga berdasarkan faktor keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memutuskan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua tidak perlu hadir ke CAC untuk penilaian.

Terdahulu, penduduk Taman Sri Andalas membantah keputusan KKM mewujudkan CAC di dewan berkenaan yang terlalu hampir dengan lokasi perumahan dan menyuarakan kebimbangan mungkin berlaku peningkatan kes Covid-19.

Pada 13 Julai, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata seramai 1,900 orang hadir ke pusat berkenaan pada Isnin lalu melepasi kapasiti 1,000 pesakit sehari.

CAC ditubuhkan KKM pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :