Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dan picagari khas ‘Low Dead Volume’ yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pusat vaksin dibuka di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pusat pemberian vaksin (PPV) berskala kecil akan mula beroperasi di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Puchong Indah pada Isnin depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han berkata pembukaan PPV itu diharap mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat khususnya untuk penduduk setempat.

“Akhirnya PPV dibuka di Puchong. Setelah beberapa kali pertemuan dan perbincangan, Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah kini digunakan sebagai PPV,” katanya menerusi Facebook.

Pada 25 Jun, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau berkata ramai penduduk sekitar khususnya warga emas gagal menghadiri janji temu kerana kawasan ditetapkan jauh dari kediaman masing-masing.

Selangor menyasarkan jumlah pemberian vaksin harian negeri mencecah ke tahap 300,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini.

Jumlah itu hasil Program Vaksin Selangor (Selvax), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Program Selvax merupakan pelengkap kerangka PICK. Menerusi Selvax Komuniti, seramai 250,000 rakyat negeri ini yang belum divaksin mendapat manfaat membabitkan 500,000 dos.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.


Pengarang :