Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penduduk Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 19 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Pusingan kedua bantuan penduduk Flat Taman Samudera Timur Jumaat ini

GOMBAK, 21 JULAI: Bantuan makanan asas pusingan kedua akan disalurkan Jumaat ini kepada 650 keluarga di Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata inisiatif itu susulan bantuan pusingan pertama yang disalurkan dalam tempoh 48 jam selepas kawasan berkenaan dikenakan PKPD bermula Ahad lalu.

Menurutnya ia bagi memastikan 3,000 penduduk tidak berdepan masalah terputus bekalan makanan sepanjang PKPD yang dijadual berakhir 10 hari lagi.

“Walaupun agihan telah selesai beberapa hari lalu, namun kita bercadang untuk buat dua lagi pusingan (agihan) memandangkan kita diamanah jaga kebajikan mereka.

“Setakat ini bekalan cukup malah jika ada penduduk yang memerlukan bantuan lain seperti ubat-ubatan, lampin pakai buang dan susu, kita akan berikan melalui urus setia kawasan terbabit,” kata Abdul Rahim Kasdi.

Penyelaras DUN Gombak Setia, Abdul Rahim Kasdi bercakap kepada media ketika Program Serahan Daging Korban DUN Sungai Tua di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua, Gombak pada 21 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau proses suntikan pelalian dos kedua di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahim memaklumkan pihaknya merancang untuk memberi ikan, ayam dan sayuran kepada penduduk terlibat dalam masa terdekat.

“Saya sudah berbincang dengan Dato’ Menteri Besar mengenai cadangan ini dan Insya-Allah akan sampai kepada mereka,” katanya.

Flat Taman Samudera Timur, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan perintah tersebut selama dua minggu berkuat kuasa 18 hingga 31 Julai ini.


Pengarang :