Sebahagian penunjuk perasaan memegang kain rentang tertera perkataan ‘kerajaan gagal’ ketika mengadakan demonstrasi sekitar stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 31 Julai 2021. Foto Facebook UPSI Confession
AGENDANASIONAL

Ribuan anak muda berarak di KL, desak PM undur

SHAH ALAM, 31 JULAI: Ribuan penunjuk perasaan berpakaian hitam berarak ke Dataran Merdeka hari ini bagi mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Perhimpunan aman yang berlangsung sejak pagi tadi menyaksikan ramai peserta membawa kain rentang dan plakad tertera “kerajaan gagal” selain “keluar dan #lawan”.

Menurut laporan Free Malaysia Today, beberapa peserta – majoriti anak muda turut memegang simbol objek berkain kafan, merujuk kepada kematian akibat wabak Covid-19.

Antara pemimpin yang hadir ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Tian Chua sebagai tanda solidariti bersama peserta demonstrasi.

Pihak polis turut dilihat membuat kawalan keselamatan di sekitar kawasan berkenaan selain menutup beberapa laluan menuju ke Dataran Merdeka.

Bantahan anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat kini sohor di Twitter dengan tanda pagar #Lawan.

Gesaan agar Muhyiddin meletakkan jawatan semakin kuat berikutan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahir rasa “amat dukacita” atas pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada 29 Julai, Baginda juga menzahirkan dukacita kerana perkara diperkenan dan dititahkan kepada kerajaan pada 24 Julai supaya pembatalan Ordinan Darurat dibentang serta dibahaskan di Parlimen tidak dilaksanakan.

 


Pengarang :