Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) bagi memantau pergerakan orang ramai yang keluar dan masuk tanpa urusan penting di Plaza Tol Gombak pada 10 Julai – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rentas negeri: Surat Miti tidak diterima mulai 18 hingga 21 Julai

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Polis Diraja Malaysia tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari, kebelakangan ini.

“Semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan, dan tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah.

“Ini bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab, daripada menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri, untuk sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya dalam kenyataan malam tadi

Bagaimanapun, Acryl Sani berkata larangan tersebut tidak terpakai bagi urusan kecemasan dengan kebenaran polis, serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

Jelasnya lagi, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini, akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi dan masyarakat turut dinasihatkan untuk bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19.

— BERNAMA


Pengarang :