Zainol Azmi Abd Rahman meninjau proses suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MRSM Sungai Besar, Sabak Bernam pada 31 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Sasar 1,000 penduduk DUN Sungai Panjang dapat vaksin Selangor

SABAK BERNAM, 31 JULAI: Hampir 1,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang disasar menerima suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Penyelaras DUN Sungai Panjang berkata program selama dua hari bermula semalam di Dewan Maktab Rendah Sains Mara Sungai Besar memanfaatkan 500 individu setakat ini.

“Insya-Allah kita sasarkan sehingga tamat program ini mungkin boleh capai 1,000 penduduk divaksin.

“Pada awalnya kita terima 2,300 pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) tetapi kehadiran berkurang mungkin ramai sudah dapat janji temu dari MySejahtera,” kata Zainol Azmi Abd Rahman.

Beliau yang ditemui pada program tersebut menambah tiada syarat khusus ditetapkan untuk menerima suntikan bawah Selvax, sebaliknya terbuka kepada warga Selangor terutama penduduk Sungai Panjang.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Inisiatif bernilai RM200 juta yang menyasar warga emas dan golongan berpendapatan rendah diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :