Kit kesihatan bernilai RM200 disediakan Kerajaan Negeri untuk kegunaan pesakit yang kuarantin di rumah. Selain panduan, ia mengandungi alat pengukur kandungan oksigen, ubat dan jangka suhu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor agih lagi 7,000 kit kesihatan ke seluruh CAC

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri akan menambah 7,000 kit penilaian kesihatan untuk kegunaan pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Dato’ Menteri Besar berkata kit itu akan diagihkan ke semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negeri terutama lokasi tumpuan ramai.

“Kit ini termasuk oximeter atau alat pengukur kandungan oksigen yang akan diberikan kepada pesakit untuk menilai secara kendiri ketika mereka berada di rumah.

“Bagaimanapun, apabila tamat kuarantin dan dipotong gelang mereka perlu menghantar kembali oximeter itu kepada CAC supaya boleh digunakan semula oleh pesakit lain,” katanya dalam program bual bicara bersama Astro Awani malam tadi.

Amirudin berkata pesakit yang menjalani kuarantin juga perlu mengemas kini tahap kesihatan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk pemantauan.

Jelasnya, tiga daerah terlibat yang menggunakan keadah itu ialah Gombak, Petaling dan Hulu Langat.

“Menerusi aplikasi ini, doktor akan memantau keadaan pesakit dan menentukan sama ada mereka dimasukkan ke hospital atau sebaliknya,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk RM1.25 juta bagi menyediakan kit kesihatan yang setiap satunya mengandungi oximeter, ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.

Inisiatif tersebut disediakan untuk membendung kes jenazah dibawa ke hospital (brought in dead) yang kian membimbangkan kebelakangan ini.


Pengarang :