Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau program Outreach Vaksinasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi pada 10 Julai 2021. Foto SUK
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor cadang pinda peraturan untuk dewan negeri bersidang secara hibrid

BANGI,10 JULAI: Kerajaan Negeri bercadang meminda peraturan persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) supaya boleh dijalankan secara hibrid.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan mengenai perkara tersebut dijangka dibawa dalam DNS yang memulakan persidangan pada 23 Ogos.

“Mengikut peraturan undang-undang tubuh kerajaan Selangor, persidangan secara hibrid tidak dibenarkan dan kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) masih diperlukan secara fizikal.

“Berdasarkan keperluan kita akan ubah dahulu undang-undang untuk tujuan itu jika mahu ia dilakukan dalam tempoh panjang antara 10 hingga 11 hari,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC) hari ini.

Menurut Amirudin, beberapa usul juga akan dibawa termasuk mengkaji semula belanjawan sama ada perlu penambahan atau penstrukturan yang memerlukan keputusan dewan negeri.

Pada 9 Julai, Amirudin dalam kenyataan memaklumkan DNS akan bersidang mulai 23 Ogos ini setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Persidangan selama sembilan hari hingga 6 September mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaan pada 23 Ogos serta DNS kemudian akan bersidang selama lapan hari.


Pengarang :