Selangorkini
Pasukan Selangor FC dengan kerjasama Segi Value Holdings Sdn Bhd melancarkan Ehsan Kit Segi Fresh 2021 untuk membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC jalin kerjasama dengan Segi Fresh, bantu golongan terkesan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Pasukan Selangor FC dengan kerjasama Segi Value Holdings Sdn Bhd melancarkan Ehsan Kit Segi Fresh 2021 untuk membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menerusi kenyataan di laman web selangorfc.com, kelab bola sepak itu memaklumkan sebanyak 10,000 beg makanan disediakan menerusi program sumbangan tersebut.

Beg makanan disalurkan kepada golongan hilang pekerjaan, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal di beberapa cawangan Segi Fresh di Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka.

“Beg makanan ini mengandungi bahan makanan basah dan kering serta segar mula diagihkan semalam kepada golongan memerlukan sehingga sumbangan habis,” menurut kenyataan tersebut.

Selangor FC memaklumkan usaha tersebut diberi penekanan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku pengerusi Selangor FC yang mahu kelab bola sepak itu membantu masyarakat memerlukan.

Individu yang memerlukan bantuan boleh menghantar maklumat peribadi menerusi aplikasi Whatsapp ke talian khas Segi Fresh 012-5123240.


Pengarang :