Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor giat suntikan vaksin, 2.95 juta dos setakat ini

SHAH ALAM, 21 JULAI: Sejumlah 2.95 juta dos vaksin diberikan kepada penduduk Selangor setakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Infografik dikongsi Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook menunjukkan jumlah itu membabitkan 2.23 juta dos pertama meliputi 46.9 peratus penduduk.

Sementara 15.27 peratus bersamaan 725,000 individu pula lengkap menerima dua dos.

“Manakala, menerusi program Vaksin Selangor atau Selvax pula, tambahan sebanyak 89,867 dos telah disuntik,” katanya.

Pada Ahad, Amirudin berkata jumlah pemberian vaksin negeri boleh mencecah ke tahap maksimum lebih 300,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini.

Angka itu boleh dicapai hasil program Selvax, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta.

Pada 15 Jun, Kerajaan Selangor dan persekutuan bersepakat sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya September.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula menyasarkan 250,000 penduduk khususnya warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Infografik dikongsikan di Facebook Amirudin Shari

 


Pengarang :