Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor nafi kaut untung jual vaksin kepada industri

PETALING JAYA, 1 JULAI: Kerajaan Negeri menafikan tuduhan pihaknya mengaut keuntungan dengan menjual vaksin kepada industri menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax).

Dato’Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebaliknya pembelian yang dilakukan pemain industri juga menampung kos pemberian vaksin percuma kepada rakyat negeri ini.

“Jangan lihat vaksin hanya vaksin dan kotak vaksin, kita juga menyusun lebih 5,000 petugas dan kita juga terpaksa mengeluarkan kos-kos tertentu untuk pusat pemberian vaksin (PPV) dan sebagainya.

“Tidak timbul langsung soal keuntungan kerana mungkin ada sedikit kos pengurusan yang perlu kita tanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau proses vaksinasi di PPV Selvax di Tropicana Garden Mall semalam.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing melalui program Selvax Industri.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi mengawal dan melindungi semua pihak memandangkan sejumlah besar kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Beliau menjelaskan sebanyak 91 peratus atau 125 kluster tempat kerja dikesan sepanjang Jun dengan 80 peratus membabitkan kilang, manakala baki berkait kluster tapak binaan.


Pengarang :