Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media khas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam pada 5 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sasar pelaburan asing lebih rendah dampak pandemik

SHAH ALAM, 20 JULAI: Selangor meletakkan jumlah sasaran pelaburan langsung asing (FDI) lebih rendah iaitu antara RM12 bilion hingga RM13 bilion pada tahun ini berbanding pencapaian RM17 bilion ke RM18 bilion dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini ekoran impak daripada pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sehingga April 2021, negeri itu mencatatkan nilai FDI kira-kira RM9 bilion dan ia masih dilihat sebagai angka yang baik memandangkan situasi ekonomi lebih mencabar ketika ini berbanding tahun sebelumnya.

“Sasaran kita tak besar setakat RM12 billion ke RM13 bilion kerana apa yang berlaku bila kes Covid-19 meningkat semula pada tahun ini operasi kita hanya bergerak dalam 20 ke 30 peratus tak banyak perkara yang kita boleh buat dan kembangkan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Bagaimanapun, katanya, susulan pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini, beliau berharap landskap ekonomi negeri itu akan beransur pulih.

“Kita tidak mahu terlalu ‘ambitious’ (meletak sasaran tinggi) tetapi saya kira akhir Ogos atau awal September kita akan dapat sesuatu yang lebih baik untuk Selangor,” kata Amirudin.

Sementara itu, katanya, melalui pelaksanaan inisiatif Selangor Advance dibawah Pakej Kita Selangor 2.0, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 300 syarikat melibatkan 50,000 pekerja setakat ini.

“Melalui Selangor Advance, 50,000 pekerja ini dapat menyambung pekerjaan mereka apabila dana yang diberikan membantu syarikat dalam meneruskan kitaran modal dan tunai mereka semasa tempoh krisis ini menyebabkan syarikat masih boleh lagi bertahan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :