EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) menunjukkan barang bantuan sempena program Bantuan Khas kepada Sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 19 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sumbang RM11,600 kepada petugas pusat vaksin positif Covid-19

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri menyumbangkan RM11,600 kepada 58 petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini yang dijangkiti Covid-19, baru-baru ini.

Exco generasi muda Mohd Khairuddin Othman berkata bantuan RM200 setiap seorang itu bagi meringankan beban petugas terdiri daripada sukarelawan belia Selangor.

“Selain itu, barangan keperluan bernilai RM18,400 turut disalurkan bagi kegunaan sukarelawan yang bertugas di PPV berkenaan.

“Bantuan ini diharap membantu dan nenyuntik semangat mereka untuk terus menjalankan tugas melawan pandemik,” kata Mohd Khairuddin Othman pada majlis penyerahan sumbangan di PPV, IDCC di sini hari ini.

Pusat berkenaan ditutup satu hari pada 13 Julai lalu selepas 204 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan petugasnya.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 turut menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi antara 29 Jun hingga 12 Julai membuat penilaian kendiri dan melakukan saringan sekiranya bergejala.

Pada 2 Mei lalu, PPV di IDCC Shah Alam dibuka bagi mempercepatkan urusan suntikan imunisasi berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kendalian kali pertama Kerajaan Selangor itu melibatkan suntikan khas vaksin AstraZeneca untuk individu yang mahu mengambilnya secara sukarela.


Pengarang :