Poster ihsan Facebook Selangor Xtiv Virtual 2021
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor Xtiv Virtual terus dapat sambutan, 160,000 turut serta

SHAH ALAM 28 JULAI: Selangor Xtiv Virtual 2021 yang bermula Mac lalu terus merekodkan peningkatan dengan kira-kira 160,000 peserta setakat Julai ini.

EXCO sukan berkata jumlah itu mencapai 35 peratus daripada sasaran 450,000 penyertaan menjelang akhir tahun ini dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada generasi muda.

“Kerajaan Negeri yakin program dan rekod ini menjadikan Selangor sebagai peneraju selain ia selaras dengan agenda pendigitalan iaitu pemangkin negeri pintar ulung Malaysia,” kata Mohd Khairuddin Othman dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan sambutan baik diterima itu merupakan modul terbaik program Kerajaan Negeri ketika rakyat hanya duduk di rumah demi memutuskan rantaian Covid-19.

“Malah, dengan penganjuran program seperti ini membuktikan Selangor tidak ketinggalan untuk mengadaptasi teknologi Internet Pelbagai Perkara (IoT) terutama ketika pandemik,” katanya.

Selangor Xtiv Virtual 2021 mempertandingkan tujuh jenis permainan bermula Mac hingga Disember dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Dua acara iaitu Selangor Xtiv Virtual Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Tahun lalu, program berkenaan mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.


Pengarang :