Selangorkini
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selaras empat krematorium PBT, percepat urus mayat Covid-19 bukan Islam

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri menyelaraskan pengurusan mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di empat krematorium dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco kerajaan tempatan berkata langkah itu bagi mempercepatkan proses pembakaran mayat dan mengurangkan kesesakan di bilik mayat beberapa hospital di negeri ini.

Menurut Ng Sze Han empat PBT memiliki kompleks pembakaran ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) manakala satu lagi dalam pembinaan di bawah Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

“Pengurusannya dapat disegerakan contohnya masalah dihadapi di krematorium MPK pada masa ini apabila satu daripada tiga mesinnya rosak, mayat boleh dihantar ke pusat pembakaran diurus PBT lain.

“Ini dapat mengurangkan beban di sesebuah krematorium, pada ketika ini setiap pusat hanya dapat membakar sekitar empat hingga lima mayat sehari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan dengan krematorium swasta dengan memberi potongan bayaran berpatutan bagi proses pengurusan mayat mangsa Covid-19.

“Kita juga sedang meminta kebenaran supaya pembinaan pusat tersebut di bawah MPSepang yang dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan dapat diteruskan.

“Ia sudah hampir siap dan boleh meningkatkan kapasiti pengurusan mayat di Selangor,” katanya.

17 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat iaitu usaha mengurangkan masa pengurusan selain mengelak kesesakan jenazah dan mayat di beberapa hospital.

Inisiatif berkenaan melibatkan urusan jenazah Covid-19 di tiga hospital sama ada Islam dan bukan Islam khususnya di Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Tanah perkuburan bagi jenazah mangsa beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala bagi bukan Islam dirujuk kepada PBT bagi tujuan pengebumian dan urusan bersesuaian.


Pengarang :