Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selvax Industri bantu majikan urus, percepat vaksin pekerja

SHAH ALAM 29 JULAI: Pelaksanaan program Vaksin Selangor (Selvax) membantu melancarkan proses suntikan pelalian rakyat sekaligus mempercepatkan imuniti kelompok negeri ini.

Mengambil contoh pelaksanaan Selvax Industri, EXCO perdagangan berkata inisiatif itu memudahkan pihak majikan atau syarikat mendapatkan suntikan pelalian melibatkan pekerjanya.

Justeru, dakwaan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Negeri cuba mengaut keuntungan dengan menjual vaksin kepada pihak industri adalah tidak tepat.

Dato’ Teng Chang Khim berkata Selgate Healthcare Sdn Bhd selaku pengendali program menyediakan semua kemudahan merangkumi proses suntikan, penyusunan petugas dan pusat vaksin.

“Jika kita menjual bekalan vaksin kepada pihak swasta, syarikat atau kilang perlu mencari klinik untuk menguruskan suntikan. Menerusi Selvax Industri, pekerja hanya perlu datang terima suntikan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Noh dalam sidang khas Parlimen semalam bahawa Kerajaan Negeri cuba mengaut keuntungan apabila menjual vaksin diperoleh daripada pembekal kepada pihak industri.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Program Selvax merupakan pelengkap kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kerajaan Perak turut melaksanakan Program Vaksin Perak (PVP) dikenali SilverVax untuk ditawarkan kepada majikan dan syarikat swasta di negeri berkenaan.

Program dijalankan itu dilihat mencontohi Kerajaan Selangor menerusi Selvax dengan Selvax Industri dikhususkan kepada pihak tersebut untuk membiayai pekerja mereka mendapatkan suntikan vaksin.


Pengarang :