Ketua Pegawai Sumber Manusia Erlny Greiss (kiri) bersama kakitangan Touch n’ Go yang menerima vaksin di bawah Selvax Industri di PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selvax Industri: Lebih 150 syarikat daftar, 41,000 terima dos pertama

SHAH ALAM, 15 JULAI: Lebih 150 syarikat sekitar Selangor dan Lembah Klang mendaftar program Vaksin Selangor (Selvax) Industri sejak dilancar 28 Jun lalu.

Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Selgate Healthcare berkata kira-kira 41,000 pekerja menerima suntikan dos pertama jenis Coronavac Sinovac di pusat pemberian vaksin (PPV) sehingga 12 Julai.

“Kita masih terima (pendaftaran syarikat dalam program Selvax Industri). Justeru, lebih banyak syarikat digalakkan turut serta bagi melindungi pekerja mereka daripada Covid-19.

“Sekiranya kita dapat beri vaksin kepada ramai orang sehingga 80 peratus, saya percaya sasaran imuniti kelompok mampu dicapai,” kata Dr Muaz Omar ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menyeru rakyat Selangor yang layak dan masih belum menerima suntikan supaya segera memohon melalui wakil rakyat masing-masing untuk Selvax Komuniti.

“Saya yakin ramai sedang tertunggu-tunggu untuk dapatkannya jadi lagi cepat disuntik, lagi cepat kita lindungi rakyat,” katanya.

Kerajaan Negeri telah mengumumkan pelaksanaan Selvax iaitu Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang telah diterima pakai sebagai salah satu program sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Manakala Selvax Industri merupakan program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja melibatkan dua juta dos.


Pengarang :