Salah seorang pekerja KDEBWM menerima suntikan vaksin dalam program Selvax Industri
AGENSISELANGOR

Selvax Industri: Pekerja KDEBWM yakin lebih selamat selepas divaksin

SHAH ALAM, 5 JULAI: Petugas KDEB Waste Management (KDEBWM) lebih yakin dengan tahap keselamatan diri apabila bertugas di lapangan selepas menerima vaksin Covid-19 menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Shahrizan Muhammad, 45, berkata sebagai penyelia beliau perlu meronda di kawasan seliaanya dari Seksyen 19 hingga 22 di sini hampir setiap hari untuk memantau kerja petugas pembersihan dan sisa pepejal serta domestik.

“Kadang-kala bimbang juga dengan keselamatan diri ketika bertugas di lapangan, walaupun ikut tatacara operasi piawai (SOP) tetapi risiko tetap ada.

“Balik rumah pun bimbang menjangkiti keluarga, selepas divaksin saya rasa lebih selamat,” katanya yang menerima suntikan dos pertama pada 27 Jun lalu.

Penyelia KDEBWM bagi Seksyen U5 dan U16, Muhammad Yusuf Roslan, 37, pula berpendapat inisiatif Kerajaan Negeri memperkenalkan Selvax Industri mempercepatkan golongan pekerja industri mendapat pelalian.

“Lega apabila menerima panggilan mendapatkan vaksin tempoh hari, saya bimbang risiko ketika berada di lapangan kerana perlu bertemu ramai orang termasuk warga asing yang mungkin menjadi pembawa wabak.

“Walaupun sudah disuntik tetapi pihak pengurusan ingatkan supaya terus jaga SOP seperti jaga jarak fizikal dan sentiasa pakai pelitup muka,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.


Pengarang :