Ketua Pegawai Sumber Manusia Erlny Greiss (kiri) bersama kakitangan Touch n’ Go yang menerima vaksin di bawah Selvax Industri di PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
BERITA UTAMASELANGOR

Selvax Industri: Penantian berakhir, pekerja lega dapat suntikan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Penantian panjang beberapa pekerja di negeri ini untuk mendapatkan suntikan pelalian berakhir apabila menerima dos pertama minggu lalu menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Arkitek, Adele Teo, 29, mengakui lega selepas menerima suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya melalui pendaftaran di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Sebenarnya saya mendaftar di aplikasi MySejahtera sejak April tetapi tidak pernah mendapat janji temu, sebab menunggu lama jadi saya daftar di SELangkah.

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana memberi saya vaksin. Layanan diberikan petugas di PPV sangat bagus, mereka mengiring peserta dari satu kaunter ke satu kaunter malah prosesnya mengambil masa kurang 30 minit,” katanya.

Sementara itu, petugas farmasi, Fidhayatul Alyaa Mohd, 31, berkata program tersebut membolehkan lebih ramai rakyat Selangor menerima suntikan dengan kadar segera.

“Saya bersyukur apabila dapat tahu Kerajaan Negeri buat program vaksin sendiri. Lagipun sudah lama saya daftar di MySejahtera dan belum terima janji temu tersebut.

“Insya-Allah dengan sistem yang bagus ini, saya percaya rakyat Selangor akan dapat suntikan segera kerana Covid-19 bukan benda main-main,” katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan untuk diagih secara percuma kepada sejuta pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitar memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

 


Pengarang :