AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Selvax Industri: Selgate Healthcare, KOSSAN bekerjasama bantu pekerja divaksin

SHAH ALAM, 14 JULAI: Selgate Healthcare menjalin kerjasama dengan Kumpulan Syarikat KOSSAN (KOSSAN) di dalam penyertaan Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri menyasarkan hampir 5,000 pekerja.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Selgate Corporation berkata program bermula semalam membabitkan pekerja tempatan dan asing divaksin secara sukarela itu adalah program in-situ pertama membabitkan kedua pihak di bawah Selvax.

“Gandingan usaha amat diperlukan kerana Selvax Industri merupakan inisiatif penting di dalam metodologi pemvaksinan menyeluruh memastikan Selangor dan Malaysia amnya dapat mengembalikan operasi pembuatan kepada normal semula.

“Program ini yang dibawakan Kerajaan Negeri juga adalah suatu jaminan terhadap keselamatan setiap individu,” kata Noor Hisham Mohd Ghouth.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KOSSAN berkata program itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menangani keselamatan dan kesihatan pekerja serta mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

“Program ini merupakan sejarah bagi kami terutama ketika pandemik di mana inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan taraf kehidupan dan kesihatan pekerja tetapi membuktikan komitmen memastikan keselamatan ke arah tahap produktiviti lebih baik serta kesinambungan ekonomi negara,” kata Lawrence Lim.

Beliau berkata pekerja KOSSAN terlibat dalam program itu adalah dari bahagian pengurusan serta kilang pembuatannya di Selangor dan menambah itu merupakan pemangkin untuk majikan lain mempertimbangkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Kerajaan Negeri telah mengumumkan pelaksanaan Selvax iaitu Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang telah diterima pakai sebagai salah satu program sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak Jun lalu.

Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Manakala Selvax Industri merupakan program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja melibatkan dua juta dos.


Pengarang :