Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selvax Komuniti Bandar Baru Klang turut libatkan warga asing

SHAH ALAM, 30 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang tidak memfokus warga tempatan sahaja tetapi juga diberi kepada warga asing yang mempunyai dokumen.

Wakil rakyatnya Dato’ Teng Chang Khim berkata jangkitan Covid-19 tidak mengira kewarganegaraan malah warga asing boleh menjadi penyumbang penularan wabak.

“Kita memperuntuk 2,600 penerima untuk suntikan vaksin di kawasan ini yang diadakan dua hari bermula kelmarin.

“Sehingga kelmarin, seramai 1,122 penduduk DUN Bandar Baru Klang menerima vaksin Covid-19 melalui program Selvax Komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata pihaknya mencadangkan suntikan vaksin diberikan kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen.

“Mereka juga boleh mendatangkan bahaya jika dibiarkan berada dalam komuniti tanpa suntikan vaksin.

“Namun, strategi pemberian vaksin ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang bagi memastikan kes Covid-19 mencatat penurunan,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :