Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas taklimat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bilik gerakan Flat Taman Samudera Timur, Gombak pada 19 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selvax Komuniti lebih rancak selepas sambutan Aidiladha

GOMBAK, 20 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti akan diperhebat selepas sambutan Hari Raya Aidiladha, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu akan lebih teratur selepas mendapat bekalan konsisten daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

“Insya-Allah selepas Aidiladha kita akan mulakan Selvax Komuniti dengan lebih rancak dan perkara itu juga kita bincangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau penduduk Flat Taman Samudera Timur, di sini malam tadi menambah fokus juga diberikan kepada program vaksin lain bawah persekutuan.

Amirudin menjelaskan langkah tersebut bagi memastikan sekurang-kurangnya seluruh rakyat Selangor menerima satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman web https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.


Pengarang :