Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bertanya khabar penerima vaksin ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre pada 10 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Semua warga Selangor, KL dapat satu dos vaksin menjelang 1 Ogos

SHAH ALAM, 16 JULAI: Semua warga Selangor dan Kuala Lumpur yang telah mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Pelan Vaksinasi Lembah Klang Raya yang dipengerusi Menteri Penyelaras Vaksin Khairy Jamaluddin.

“(Rancangan) ini meliputi 1.3 juta warga Selangor dan Kuala Lumpur yang belum menerima janji temu vaksin dijangka bermula pada 26 Julai” kata Dato’ Seri Amirudin Shari yang hadir dalam perbincangan pagi tadi.

Amirudin berkata mesyuarat juga bersetuju usaha Kerajaan Negeri melalui program Vaksin Selangor (Selvax) dirangkumkan dalam kerangka Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Ini adalah pengiktirafan terhadap peranan Selangor melalui Selvax dalam program PICK dan kerjasama ini melibatkan aspek bekalan vaksin serta pengiraan kapasiti dan data,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata program Selvax Komuniti dan Industri akan dioptimum dengan bekalan vaksin mencukupi supaya dapat beroperasi dengan kapasiti penuh.

Menurutnya, langkah itu bagi mencapai kadar anggaran 40,000 dos sehari untuk kedua-dua dos serentak melalui lima pusat pemberian vaksin (PPV) Mega serta klinik panel Selcare seluruh negeri bergantung stok bekalan.

“Usaha peningkatan kapasiti PPV akan melonjakkan jumlah pemberian dos kepada 272,000 setiap hari,” katanya menambah Selangor berjaya memberikan 113,458 dos vaksin semalam, angka tertinggi seluruh negara.


Pengarang :