Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin secara pandu lalu kepada kakitangan SIRIM ketika Program vaksinasi pandu lalu SIRIM bersama Selvax di Ibu Pejabat SIRIM, Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sirim beli vaksin Selangor, syarikat pertama guna kaedah pandu lalu

SHAH ALAM, 31 JULAI: Sirim Berhad (Sirim) menjadi pelanggan pertama Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri menerima suntikan pelalian menggunakan kaedah pandu lalu.

Pengerusinya Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali berkata  kira-kira 120 kakitangan termasuk pasangan serta ahli keluarga menggunakan kemudahan berkenaan.

“Kaedah ini memudahkan pekerja yang datang mengambil suntikan dan memberi keselesaan.

“Secara tidak langsung menggalakkan mereka mendapatkan vaksin,” katanya pada sidang media selepas Program Vaksinasi Pandu Lalu Sirim-Selvax hari ini.

Petugas kesihatan memberi penerangan sebelum melakukan suntikan vaksin secara pandu lalu kepada kakitangan SIRIM ketika Program vaksinasi pandu lalu SIRIM bersama Selvax di Ibu Pejabat SIRIM, Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi pembelian vaksin jenis Sinovac daripada Kerajaan Selangor itu, Dr Ir Ahmad Tajuddin berkata hampir 1,000 pekerja sudah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos.

“Sirim sebagai agensi yang memberi khidmat dalam sektor industri, jadi pekerja terdedah jangkitan Covid-19 ketika berjumpa pelanggan dan turun padang.

“Bagi memastikan keselamatan mereka, kita sertai Selvax supaya pekerja mendapat vaksin lebih cepat,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan Selvax Industri dengan menyediakan dua juta dos vaksin kepada majikan untuk diagihkan secara percuma kepada sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing.

KDEB Waste Management, Kumpulan Syarikat KOSSAN, 99 Speed Mart, Telekom Malaysia, Touch n Go, EcoWorld dan Tropicana merupakan antara syarikat yang sertainya.


Pengarang :