Sukarelawan Troopers membantu penerima vaksin Covid-19 mendaftar semasa program Vaksin Selangor (Selvax) anjuran ADN Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall pada 30 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Suami isteri tempuh perjalanan 300 km untuk terima vaksin Selangor

PETALING JAYA, 30 JULAI: Sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan lebih 300 kilometer dari Butterworth, Pulau Pinang untuk mendapatkan suntikan pelalian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini.

Kuan Dah Zeong, 31, berkata dia dan isteri Goh Bee Khim, 33, bertolak seawal jam 6 pagi bagi mengelak terlepas janji temu yang dijadual jam 10 pagi hari ini menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Kuan Dah Zeong, 31.

Pekerja kilang kayu itu berkata mereka teruja untuk melengkapkan dos kedua pelalian meskipun perjalanan memakan masa tiga jam untuk tiba di pusat vaksin selain melalui beberapa sekatan jalan raya.

“Sebaik tiba di PPV kira-kira jam 9.30 pagi, saya lihat ramai beratur untuk menerima suntikan, namun tidak menyangka prosesnya lebih cepat berbanding dos pertama 9 Julai lalu,” katanya ketika ditemui Selangorkini di sini.

Dah Zeong berkata mereka layak menerima suntikan pelalian bawah Selvax Industri selepas nama didaftarkan ahli keluarga Bee Khim yang memiliki sebuah syarikat teknologi komunikasi di ibu kota.

“Kami ada mohon di aplikasi MySejahtera April lalu tetapi sehingga kini belum menerima tarikh janji temu. Atas faktor itu, ahli keluarga isteri memasukkan nama kami sebagai penerima dan kebetulan syarikat berkenaan berdaftar dengan Selvax untuk kakitangan mereka,” katanya lagi.

Halifah Rahman, 37.

Sementara itu, perunding takaful Halifah Rahman, 37, yang juga lengkap dua dos vaksin bawah Selvax Industri menyambut baik inisiatif Kerajaan Selangor untuk mempercepatkan imuniti kelompok.

Ibu kepada dua anak yang menetap di Batu Caves, Gombak juga menghargai komitmen majikan menanggung kos suntikan vaksin bagi melindungi semua kakitangan tanpa perlu menunggu tarikh janji temu di MySejahtera.

“Justeru, saya berharap dengan lengkapnya dua dos ini kerajaan akan segera beri kebenaran untuk merentas negeri memandangkan hampir dua tahun tidak pulang ke kampung halaman di Perak,” katanya.

Azli Mat Udin, 41.

Seorang lagi perunding takaful, Azli Mat Udin, 41, berkata majikan sudah mendaftar nama semua kakitangan yang belum divaksin di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) Jun lalu untuk menerima suntikan pelalian bawah Selvax Industri.

“Saya bersyukur kerana majikan mengambil berat keselamatan pekerja, apatah lagi kebanyakan kami bertugas di lapangan bertemu dengan pelanggan,” kata bapa empat anak yang tinggal di Bangi.

Bagi Rozaila Syahir, 22, inisiatif ditawarkan majikan harus dimanfaatkan berikutan semua ahli keluarganya sudah menerima vaksin sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Rozaila Syahir, 22.

“Alhamdulillah, syarikat mendaftarkan nama kami (pekerja) pada 8 Julai sebelum menerima dos pertama keesokan hari dan hari ini lengkap dos kedua.

“Saya juga melihat proses pemberian vaksin yang disifatkan lancar serta tersusun meskipun ramai penerima datang hari ini,” katanya.


Pengarang :