AGENDANASIONAL

Sultan bangga petugas gigih percepat suntikan vaksin

SHAH ALAM, 22 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa bangga dengan kegigihan pihak yang berusaha mempercepat proses vaksinasi penduduk negeri itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mendoakan pengorbanan mereka mendapat ganjaran setimpal.

“Setakat semalam sejumlah 2.95 juta dos vaksin diberikan kepada penduduk Selangor dengan 46.9 peratus rakyat terima suntikan pertama manakala 15.27 peratus telah lengkap pelalian.

“Baginda juga menzahirkan penghargaan khas kepada petugas hadapan dan sukarelawan di hospital dan pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh Selangor yang bertungkus lumus bertugas pada Hari Raya Aidiladha lalu,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office malam ini.

Sultan Selangor turut menitahkan supaya kadar vaksinasi negeri ini diperluaskan lagi bagi mengurangkan jumlah kematian.

Semalam Selangor merekodkan kes kematian tertinggi dengan 84 kes membabitkan 45 kaum lelaki serta 39 wanita.

Daripada jumlah itu 63 pesakit meninggal dunia di hospital manakala selebihnya sebelum tiba di hospital (BID).

 


Pengarang :