DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan seru umat Islam hayati isi khutbah larangan bunuh diri

SHAH ALAM, 9 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam menghayati intipati khutbah Jumaat hari ini mengenai bunuh diri susulan peningkatan kes berkenaan kebelakangan ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kandungan khutbah yang dibacakan khatib masjid seluruh negeri perlu diketengahkan untuk dijadikan pedoman dan pengajaran.

“Allah SWT melarang hambaNya daripada membunuh diri kerana diri mereka adalah milikNya, bukan milik mutlak diri mereka sendiri.

“Justeru, membunuh diri bermakna mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda juga menegaskan perbuatan tersebut adalah dosa besar yang dilarang oleh syarak serta terdapat hadis menyebutkan bagaimana azab yang dikenakan kepada orang yang membunuh diri di akhirat kelak.

Saranan khutbah untuk menghindari perbuatan bunuh diri:

1. Bersabar dengan ujian dan istiqamah mendirikan solat.

2. Sentiasa berzikir lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan ujian kerana iai memberi ketenangan dalam hati dan menghilangkan kegelisahan bahkan mengelakkan diri dari melakukan perkara lain yang tidak berfaedah.

3. Rawat dukacita dengan doa dengan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW.

4. Hendaklah mengajukan permasalahan yang dihadapi kepada ahli keluarga, sanak saudara dan individu lain yang boleh dipercayai untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar.


Pengarang :