AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan titah kukuhkan perpaduan, jauhi sengketa

SHAH ALAM, 23 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah supaya rakyat sentiasa bermuafakat dan saling membantu bagi mengukuhkan persaudaraan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat perlu mengambil iktibar pelaksanaan ibadah haji dan korban yang mengajar pengukuhan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.

“Ibadah haji menuntut umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan warna kulit berkumpul bersama-sama sebagai satu jemaah dengan satu tujuan, iaitu semata-mata mahu mengabdikan diri kepada Allah.

“Begitu juga dengan ibadah korban bertujuan mendekatkan diri kepada Allah. Sebagai umat yang bersaudara, kita seharusnya mengelakkan persengketaan, jauhi fitnah dan berburuk sangka sesama sendiri,” menurut kenyataan dikeluarkan Facebook Selangor Royal Office malam tadi.

Sultan Sharafuddin turut mendoakan hubungan persaudaraan rakyat sentiasa kukuh dan masyarakat hidup aman serta harmoni supaya menjadi benteng daripada serangan musuh Islam.


Pengarang :