Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah pegawai, ahli politik bersalah rasuah akan ditarik pingat

SHAH ALAM, 28 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan menarik semula darjah, bintang kebesaran dan pingat yang diberi kepada pegawai atau ahli politik negeri itu jika didapati terlibat aktiviti rasuah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tindakan tegas perlu dikenakan kerana perbuatan rasuah boleh mencemar nama baik seluruh pegawai Kerajaan Negeri.

“Baginda menegaskan bahawa sesiapa pegawai Kerajaan Negeri didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Mana-mana pegawai yang telah dikurniakan darjah dan bintang Kebesaran serta pingat negeri Selangor dan didapati melakukan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik,” kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor Dato’ Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

“Baginda menyeru SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan yang telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.


Pengarang :