Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan titah sambut sederhana Aidiladha, jangan balik kampung

SHAH ALAM, 19 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sekali lagi menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana dan tidak pulang ke kampung.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Aidiladha disambut kediaman masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal.

“Baginda amat bimbang sekiranya masih ada yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena musim perayaan ini.

“Baginda masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Sultan Selangor turut berharap setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Baginda mahu supaya umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak Covid-19 dan kematian,” menurut kenyataan lagi.

Pada 13 Julai, Sultan Selangor menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana di kediaman masing-masing dan tidak merentas daerah.


Pengarang :