Seorang rakyat Palestin mengebarkan bendera tanda solidariti buat negaranya di Washington, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2021. Foto AFP
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sumbangan agensi, orang awam tingkat kutipan tabung Palestin hampir RM800,000

KLANG, 29 JULAI: Kerajaan Negeri mengutip sebanyak RM780,589.42 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sejak dilancar 19 Mei lepas.

EXCO agama Islam berkata kutipan itu melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi, yayasan dan individu persendirian.

“Kutipan ini tidak melibatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) dan EXCO kerana pejabat ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setakat ini RM350,000 dihantar ke Palestin untuk membantu rakyat negara itu,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media di Surau An Naim, Taman Sri Andalas, Klang pada 28 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata pihaknya tidak bercadang melanjutkan tempoh kutipan tabung yang berakhir Sabtu ini.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri melancar Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan kerjasama Global Peace Mission untuk rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM1 juta.

Hasil kutipan akan digunakan untuk membeli ambulans, tiga kenderaan pelbagai guna, Selangor Aid Trak (SELaid) dan pek makanan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.


Pengarang :