Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) ketika hadir untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan pertuduhan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 pada 22 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Syed Saddiq didakwa pecah amanah dana parti RM1.12 juta

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad,Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir serta Mohd ‘Afif Ali.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S. Ambiga dan Haijan Omar.

Terdahulu, Faridz menawarkan jaminan RM500,000 dan RM300,000, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah dan salah guna wang dihadapi Syed Saddiq atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius selain memohon supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat.

“Tertuduh mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan jumlah jaminan juga sepatutnya tinggi kerana dia mendapat liputan media yang meluas. Jumlah jaminan perlu mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dilakukan.

“Tertuduh juga mempunyai peluang untuk mengganggu saksi pendakwaan dan jumlah jaminan tinggi bertujuan memastikan tertuduh tidak melarikan diri. Pendakwaan juga memohon perintah mahkamah supaya tertuduh tidak membuat apa-apa komen secara terbuka kerana kes ini telah dituduh dan ia boleh subjudis kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Gobind membantah jumlah jaminan itu yang disifatkan sangat tinggi dan memohon jaminan RM20,000, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah salah guna wang atas alasan tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Anak guam saya adalah seorang berkedudukan tinggi dan seorang MP (Ahli Parlimen) yang aktif di kawasan Muar. Dakwaan bahawa beliau akan mengganggu saksi pendakwaan adalah tuduhan liar berikutan tiada laporan dibuat menunjukkan tertuduh cuba mempengaruhi sesiapa.

“Beliau telah memberi kerjasama kepada pihak SPRM sejak siasatan dilakukan bermula April tahun lepas dan tiada risiko untuk anak guam saya melarikan diri,” katanya yang turut mempersoalkan tindakan pendakwaan menuduh anak guamnya ke mahkamah beberapa hari sebelum Parlimen bersidang, sedangkan pendakwaan memperoleh izin untuk mendakwa anak guamnya ke mahkamah, tujuh bulan lepas.

Berhubung perintah larangan memberi ulasan yang dimohon pendakwaan, Ambiga pula berkata ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perkara itu disokong oleh Gobind yang turut memaklumkan jika terdapat kenyataan yang ‘menyakitkan hati’, pendakwaan boleh membuat permohonan kepada mahkamah.

Sementara itu, Faridz berkata izin mendakwa tidak mempunyai tarikh luput dan terpulang kepada pendakwaan untuk membawa kes ke mahkamah dan pertuduhan dibuat adalah berasas.

“Tertuduh tidak perlu buat apa-apa komen yang subjudis kepada mahkamah dan dia ada peluang untuk membela diri di mahkamah bukannya di luar mahkamah,” kata Faridz.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azura membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menyerahkan pasport sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran, sebulan sekali.

Mahkamah membenarkan Syed Saddiq melunaskan bayaran ikat jamin sebanyak RM80,000 pada hari ini manakala baki RM250,000 selewat-lewatnya Selasa depan selain menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes.

Mahkamah bagaimanapun tidak membuat apa-apa perintah mengenai larangan memberi ulasan.

Faridz juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bharu dalam masa terdekat dan pihaknya juga akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Syed Saddiq, bersut hitam dan kemeja putih hadir ke mahkamah pada 9 pagi ditemani bapanya, Syed Abdul Rahman dan ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz. Turut hadir Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Naib Presiden KEADILAN Tian Chua.

-BERNAMA


Pengarang :