AGENSISELANGOR

Tadika disaran mansuh yuran subjek tidak diajar, ringan beban ibu bapa

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pengusaha Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) digesa memansuhkan yuran subjek tidak diajar semasa sesi pembelajaran dalam talian bagi meringankan beban ibu bapa.

Seorang ibu Maryam Thany berkata ia susulam ramai penjaga masih menanggung bayaran kelas seperti gimnastik dan muzik meskipun anak-anak mereka tidak mengikutinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tidak menafikan yuran tadika swasta agak tinggi malah ada beberapa aktiviti tidak dapat dilaksanakan sewaktu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Mungkin pengusaha boleh mempertimbangkan perkara ini.

“Ia memerlukan empati daripada mereka kerana semua terjejas ketika pandemik Covid-19. Mungkin ada ibu bapa masih bekerja namun keluarga memiliki ramai anak bersekolah perlu membeli kemudahan teknologi untuk anak mengikuti PdPR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada bual bicara ‘Dilema pendidikan prasekolah ketika pandemik’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor malam tadi.

Maryam yang juga pengusaha restoran berkata sebagai ibu kekangan dihadapi untuk memastikan anaknya mengikuti setiap sesi pembelajaran dalam talian supaya tidak ketinggalan.

“Apabila Covid-19 melanda, kelas masih berlangsung secara maya sebagai alternatif tetapi bukan mudah apatah lagi membabitkan anak kecil,” katanya.


Pengarang :