AGENDANASIONAL

Terapi penulisan atasi masalah murung, bantu orang lain

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seorang bekas pesakit mental yang mengalami kemurungan menjadikan penulisan sebagai terapi untuk membantu proses rawatannya.

Disahkan menghidap ‘Major Depressive Disorder’ (MDD) pada 2018, Farid Zainuddin berkata beliau berdepan pelbagai jenis rawatan dan memakan ubat yang ada kalanya silih berganti kerana tidak sesuai.

Jelasnya, pada Mac tahun lalu di saat emosi dirinya belum stabil ketika mula menyertai sebuah kumpulan sokongan timbul idea untuk menulis berkaitan pengalaman hidupnya.

“Saya perlahan-lahan mula menulis dan dikongsi dengan rakan dalam kumpulan tersebut, saya dapati aktiviti itu menjadi satu terapi.

“Saya suka berkongsi dan mereka pun suka membantu,” katanya yang menghidap masalah itu ketika menjalani latihan sebagai doktor di sebuah hospital.

Beliau berkata demikian pada ‘Bual Bicara SelangorTV: Cegah bunuh diri, tanggungjawab bersama’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Sementara itu, wartawan bebas, Norman Goh berpendapat media harus memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat penting seperti saluran boleh dihubungi sekiranya menghidap masalah kesihatan mental.

Jelasnya, selain itu corak pemberitaan terutama membabitkan kejadian bunuh diri juga harus diubah dengan tidak memberikan maklumat ketara seperti identiti mangsa serta gambar kejadian.

“Tindakan seperti itu hanya memberi trauma kepada keluarga mangsa,” katanya.


Pengarang :