Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal laluan keluar masuk di sekitar kawasan Mentari Court ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada penduduk Mentari Court larikan diri dari kawasan PKPD – Polis

PETALING JAYA, 1 JULAI: Tiada penduduk atau pekerja kilang yang tinggal di Mentari Court, PJS 8 melarikan diri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Polis Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pemeriksaan pagi tadi dan mendapati semua penduduk berada di kediaman masing-masing.

“Bermula 12.01 tengah malam tadi, penduduk dilarang keluar. Bagaimanapun, sebelum waktu terbabit individu boleh bergerak dalam radius 10 kilometer seperti yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, seramai 82 anggota polis dan 22 tentera bertugas mengawasi lokasi sepanjang PKPD dikuatkuasakan.

Sebelum ini tular di media sosial gambar tangkap layar dikatakan mesej daripada pengurusan sebuah kilang berhampiran meminta pekerjanya yang tinggal di situ meninggalkan kediaman masing-masing.

Pekerja didakwa akan dipindahkan ke lokasi lain supaya operasi kilang tidak terjejas.

Bermula hari ini hingga 14 Jun kawasan terbabit yang melibatkan lebih 17,000 penduduk termasuk warga asing dikenakan PKPD selepas merekodkan jangkitan tinggi.

Kerajaan turut mengenakan perintah sama di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.


Pengarang :