Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam melakukan pemeriksaan ke atas pekerja ketika hari pertama Op Patuh di sebuah gudang penyimpanan di Seksyen 22, Shah Alam pada 3 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada tolak ansur, tindakan tegas kilang dan premis niaga langgar SOP

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Kilang dan premis perniagaan yang melanggar peraturan dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan akan berhadapan tindakan tegas termasuk diarah tutup serta-merta sebagai usaha menangani pandemik Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur lagi terhadap kilang dan premis perniagaan berkenaan yang gagal mematuhi peraturan.

“Kita akan melakukan ‘perang’ habis-habisan dalam melawan (penularan pandemik) Covid-19 dan mengambil tindakan tegas kepada kilang dan premis perniagaan yang berdegil,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini.

Semalam, Ismail Sabri dalam catatan di Facebook memaklumkan terdapat 108 kilang dan premis perniagaan yang gagal mengikut SOP telah diarah tutup serta-merta dalam tempoh dua hari.

Ia melibatkan 56 kilang dan premis perniagaan yang diarah tutup pada Khamis manakala baki 52 pada Jumaat.

– BERNAMA


Pengarang :