Vaksinator memberi suntikan pelalian kepada seorang peserta program Vaksin Selangor di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 16 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Tiga hari daftar SELangkah, dua beradik dapat suntikan vaksin Selangor

PETALING JAYA, 16 JULAI: Dua beradik menerima suntikan pelalian Covid-19 melalui Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini selepas tiga hari mendaftar dengan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.

Aqmeel Aliff Azharin,26, berkata beliau dan adiknya Aimeel Aiqal,19, hanya mencuba nasib selepas mendapat keratan iklan berhubung tawaran program berkenaan.

“Kami mendaftar pada Selasa lalu tapi tak sangka hari ini terus disuntik tanpa perlu tunggu lama. Ingatkan kami tidak layak kerana warga emas lebih diutamakan.

Aqmeel Aliff Azharin, 26

“Program ini sangat bagus kerana mempercepatkan penduduk divaksin. Sekarang jangkitan virus cepat jadi ini langkah berkesan melindungi rakyat,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Garden Mall hari ini.

Sementara itu Balkish Begam, 68, menghargai usaha Kerajaan Selangor yang sentiasa mengutamakan warga emas dalam setiap program rakyat termasuk Selvax Komuniti.

Beliau sepatutnya menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 pada Jun lalu namun terpaksa dibatalkan kerana demam.

“Saya dimaklumkan perlu tunggu tiga bulan lagi kerana buat pendaftaran baharu. Anak juga pernah pergi ke PPV untuk membolehkan saya disuntik namun tidak dibenarkan dan perlu tunggu giliran.

Balkish Begam, 68,

“Akhirnya saya dapat vaksin Kerajaan Selangor. Ahad minggu lepas anak daftarkan dan terus dapat hari ini. Saya memang mahukan vaksin secepat mungkin,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax Industri dan Selvax Komuniti di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkap dan mempercepatkan proses suntikan pelalian rakyat.

Program Selvax Komuniti itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk negeri ini yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :