Seorang penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Taman Murni, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 9 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDANASIONAL

Tiga lagi kluster baharu di Selangor babit tempat kerja

SHAH ALAM, 11 JULAI: Selangor merekodkan tiga lagi kluster baharu Covid-19 yang menyumbang kepada 4,682 kes hari ini.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kluster tempat kerja itu merangkumi kluster Industri Jalan Rukun di Kuala Selangor, kluster Industri Jalan Subang 13 (Petaling dan Hulu Langat) serta kluster Jalan Industri Dua Rawang (Gombak).

Data menunjukkan sebanyak 75 kes positif dikesan dalam kluster Industri Jalan Rukun daripada 105 individu disaring manakala kluster Industri Jalan Subang 13 mencatat 29 kes hasil saringan ke atas 120 orang.

Bagi kluster Jalan Industri Dua Rawang pula, seramai 77 individu disaring dengan 27 daripadanya diuji positif wabak.

Data sama memaparkan sebanyak 2,849 daripada baki 4,551 kes yang dilaporkan di Selangor hasil saringan kontak rapat, lain-lain saringan (1,395) dan kluster sedia ada (307).

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di Facebook memaklumkan seramai 2,786 pesakit pulih menjadikan keseluruhan sembuh 270,438.

Seramai 34 lagi individu meninggal dunia dengan jumlah maut 2,017 sejak lebih setahun pandemik menular.


Pengarang :