Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Tindakan individu tidak dedah lokasi jumpa beruang kepada umum dipuji

SHAH ALAM, 22 JULAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memuji tindakan individu yang merakam video seekor beruang matahari berkeliaran di sebuah lokasi berdekatan jalan raya di Sungai Panjang, Sabak Bernam, dekat sini, tanpa mendedahkan secara spesifik lokasi haiwan ditemui itu kepada umum.

Pengarahnya Haidar Khan Mokbolhasan berkata tindakan tidak mendedahkan lokasi beruang berkenaan dapat mengelakkan kawasan tersebut menjadi tumpuan pemburu haram yang boleh mengancam kehidupan haiwan yang dilindungi itu.

“Pihak Perhilitan ingin berterima kasih kepada mereka yang berkenaan kerana tidak mendedahkan lokasi sebenar penemuan beruang tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas penularan sebuah rakaman video berdurasi 48 saat di Facebook yang memaparkan seekor beruang matahari berkeliaran di sebuah lokasi berdekatan jalan raya di sekitar Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Menurut beliau kawasan tersebut merupakan habitat haiwan berkenaan namun pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan beruang tersebut yang keluar dari hutan berdekatan.

“Hidupan liar tersebut merupakan antara yang dilindungi sepenuhnya (di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010), jadi (Perhilitan) memohon semua pihak bersama-sama dalam memelihara haiwan berkenaan,” katanya.

Haidar Khan turut menasihati orang awam yang terserempak dengan mana-mana hidupan liar di kawasan jalan raya untuk membiarkan haiwan itu melintas jalan terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan mereka tanpa mengganggu haiwan tersebut.

Katanya pengguna jalan raya juga diminta mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kemalangan terutamanya di kawasan yang menjadi tempat laluan hidupan liar.

Beliau memaklumkan sebanyak enam ekor hidupan liar pelbagai spesies mati disebabkan kemalangan jalan raya sekitar Jalan Sungai Panjang sejak 2016 hingga tahun lepas, namun tiada sebarang kematian direkodkan pada tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :