Selangorkini
AGENDA NASIONAL

UiTM kurangkan yuran konvokesyen ijazah, diploma

SHAH ALAM, 13 JULAI: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersetuju mengurangkan yuran konvokesyen bagi sesi – 93, 94 dan 95 sebanyak RM40 yang dikenakan kepada para graduan bagi semua peringkat pengajian ijazah dan diploma.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol UiTM Nora Noordin dalam kenyataan hari ini berkata pengurangan bagi semua graduan sesi konvokesyen tersebut sebanyak RM3 juta itu dibuat untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu dibayar oleh para graduan.

“Pengurangan yuran konvokesyen tersebut diberi secara automatik kepada semua peringkat pengajian ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, diploma lepasan ijazah, ijazah sarjana muda, program profesional dan diploma,” katanya.

Katanya melalui pengurangan yuran konvokesyen sebanyak RM40, para graduan hanya perlu membayar antara RM110 hingga RM190 sahaja.

Beliau berkata Pengurusan Tertinggi UiTM juga memutuskan sama ada istiadat konvokesyen secara fizikal boleh dilaksanakan atau tidak pada tahun ini adalah tertakluk kepada keadaan semasa.

“Justeru, keputusan muktamad mengenai kaedah konvokesyen yang dijalankan hanya akan diumumkan pada masa yang lebih sesuai dan suasana mengizinkan,” katanya.

Nora berkata bagi graduan yang membuat bayaran yuran konvokesyen akan dimaklumkan untuk mengisi e-Borang Pemulangan Yuran Konvo ke-93 bagi pemulangan RM40 manakala graduan yang belum membayar yuran konvokesyen, bil yuran akan dibatalkan dan akan dijanakan bil yuran yang baharu.

-BERNAMA


Pengarang :