Dato’ Seri Amirudin Shari membuat pengumuman khas Program Vaksin Selangor (Selvax) di Facebook Media Selangor pada 30 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Vaksin Selangor: 250,000 dos diterima mulai 23 Julai

SHAH ALAM, 19 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri bakal menerima 250,000 dos vaksin secara berperingkat antara 23 dan 30 Julai.

Tambahan vaksin itu seiring Pelan Vaksinasi Lembah Klang yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Penyelaras Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Khairy Jamaluddin.

Menurut kenyataan bersama EXCO pelaburan dan EXCO usahawan, pembekalan stok vaksin mengikut jadual memastikan program Selvax Industri dapat dirancakkan serta dilaksanakan secara lebih konsisten.

“Stok vaksin dos pertama dan dos kedua fasa awal ketika ini berjumlah kira-kira 40,000 dos.

“Kami mengalu-alukan syarikat atau industri di Selangor serta Lembah Klang untuk mendaftar dan seterusnya memberi suntikan vaksin kepada pekerja bagi mencapai hasrat Pelan Vaksinasi Lembah Kelang,” kata Dato’ Teng Chang Khim dan Rodziah Ismail sebagai wakil jawatankuasa Selvax Industri.

Pada 16 Julai Dato’ Menteri Besar berkata program Selvax merupakan pelengkap kerangka Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Industri menyediakan lima pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu di Tropicana Gardens Mall, Kota Damansara; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Hotel De Palma, Shah Alam; Aurora Place, Bukit Jalil dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Sila layari laman web https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600 untuk maklumat lanjut.

 


Pengarang :