Petugas Kesihatan Selcare membuat persiapan sebelum melakukan Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Komuniti MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Varian bahaya: 40 kes Delta dikesan, dua di Selangor

SHAH ALAM, 1 JULAI: Sebanyak 40 orang pesakit Covid-19 dikesan membawa varian Delta di negara ini sehingga semalam, namun hanya dua daripada jumlah itu direkodkan di Selangor.

Dua pembawa varian tersebut, pertama kali dikesan di India, adalah kes import, menurut angka yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Tiada penularan tempatan membabitkan varian berbahaya ini direkodkan di negeri berkenaan, namun jiran-jirannya menunjukkan sejumlah jangkitan.

Kuala Lumpur merekodkan lapan kes varian Delta (B.1.617.2) dan Putrajaya pula dua. Negeri Sembilan mencatatkan enam kes, Pahang dua tetapi tiada kes di Perak.

Namun Selangor mendahului negeri lain berkaitan penularan varian Beta (B.1.351), dikesan di Afrika Selatan, dengan 46 kes tempatan daripada 147 kes seluruh negara.

Kelantan negeri kedua tertinggi merekodkan varian ini dengan 24 kes, diikuti Kedah (13), Perak (12), masing-masing lapan kes di Kuala Lumpur dan Johor.

Selangor juga merekodkan lima kes varian Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom, termasuk dua import. Setakat ini hanya 11 kes dikesan di seluruh negara.

Daripada tiga varian membimbangkan (VOC) berkenaan, Delta lebih cepat merebak dan mudah menyebabkan risiko kematian sehingga menjadi perhatian utama pakar perubatan saat ini.

Jumlah keseluruhan kes VOC di seluruh negara setakat ini 198 kes.

Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham juga berkata 28 kes varian baharu dikesan antara 23 Jun sehingga semalam, termasuk tiga kes varian yang perlu diwaspada (VOI).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 217 kes,” katanya.


Pengarang :