Perbadanan Wakaf Selangor menyumbang 10 kerusi roda dan 10 tilam angin (ripple mattress) kepada Hospital Kuala Kubu Bharu pada 16 Julai 2021. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Wakaf Selangor sumbang alat perubatan kepada empat hospital

SHAH ALAM, 18 Julai: Perbandaran Wakaf Selangor menyumbang 55 kerusi roda dan 10 tilam angin (ripple mattress) kepada empat hospital di negeri ini kelmarin sebagai sokongan kepada petugas barisan depan dalam menangani Covid-19.

Menerusi perkongsian di Facebook Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memaklumkan anak syarikatnya itu memberi peralatan perubatan menerusi inisiatif bantuan fisabilillah dari wakaf tunai dan wakaf warga kerjanya.

“Keseluruhan barangan telah diserahkan, ia merangkumi Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Tanjung Karang dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam masing-masing menerima 15 kerusi roda.

“Manakala Hospital Kuala Kubu Bharu pula 10 kerusi roda serta 10 tilam angin,” katanya.

Wakaf Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua pewakaf di agensi itu dan berharap lebih ramai pihak melakukan jariah berkenaan bagi memastikan lebih ramai dapat dibantu.

Sumbangan wakaf boleh dibuat melalui Wakaf Selangor Online dengan melayari https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp dan mendaftar melalui Portal User atau boleh berwakaf melalui aplikasi Tulus dan SnapNPay.


Pengarang :