ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah bersama penerima sumbangan pek makanan asas di Pangsapuri Seri Aman pada 1 Januari 2021. Foto Facebook Ean
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat agih bantuan makanan ke rumah kibar bendera putih

SHAH ALAM, 3 JULAI: Lima keluarga yang mengibar bendera putih antara ribuan  yang telah dibantu Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

Ean Yong Hian Wah berkata pihaknya mengesan lima keluarga mengibar bendera putih beberapa hari lalu selepas menghantar bantuan di kawasan berdekatan.

“Selain inisiatif sendiri, ada juga individu yang menghubungi memaklumkan di kejiranan mereka ada rumah yang mengibar bendera putih, kita beri bantuan bakul makanan serta-merta ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan mengibar bendera putih susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur hari ini.

ADN Sungai Ramal, Mazwan Johar pula mengedar 250 bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas pada hari pertama PKPD.

“Kali ini setiap kotak berisi bantuan bernilai RM80 berbanding RM60 sebelum ini bagi memastikan tempoh masa untuk mereka gunakan juga lebih lama.

“Kita akan pastikan tiada bendera putih dikibarkan kerana bantuan akan tiba sebelum bendera dikibar,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin menjawab pertanyaan media berkaitan projek penanaman semula pokok di SD20, Petaling Jaya pada 10 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Sementara itu, ADN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata pusat bank makanan akan diwujudkan di Kampung Kayu Ara iaitu lokasi yang mempunyai ramai penduduk terkesan akibat Covid-19.

“Setakat ini terdapat 200 keluarga yang dibantu keperluan asas kerana masalah kewangan,” katanya.


Pengarang :