Elizabeth Wong (tengah) membantu urusan pendaftaran peserta program Vaksin Selangor (Selvax) anjuran DUN Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall pada 30 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat agih barang dapur, tidak ketepikan warga asing

PETALING JAYA, 31 JULAI: Warga asing sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan tidak terkecuali menerima bantuan makanan sejak perintah kawalan ketat dikenakan awal Jun lalu.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Elizabeth Wong berkata golongan tersebut yang hilang pendapatan akibat Covid-19 membuat permohonan melalui Facebook, sistem pesanan ringkas dan borang dalam talian.

“Kita tidak meminggirkan warga asing kerana memahami kesempitan dihadapi mereka yang tidak bekerja selama dua bulan. Mereka menerima barang keperluan bernilai antara RM70 hingga RM80 bergantung pada bekalan.

“Selain makanan asas, mereka diberi makanan bermasak yang disumbangkan peniaga kendera saji dan kafeteria,” katanya menambah lebih 1,000 keluarga mendapat manfaat termasuk rakyat tempatan.

Beliau ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini semalam.

Wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei pula berkata pusat khidmatnya akan mengedarkan lampin pakai buang dan susu bayi serta dewasa mulai minggu depan.

“Inisiatif ini memang ada dalam perancangan pusat khidmat saya memandangkan banyak permohonan diterima daripada penduduk yang memerlukan bantuan tersebut.

“Bagaimanapun, program bakul makanan berjalan seperti biasa kerana sekarang waktu mencabar untuk semua orang dan kita akan bantu sehabis baik bagi mengurangkan beban penduduk,” katanya.

Sementara itu, ADN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran memaklumkan sebanyak 10 pek makanan asas bernilai RM50 meliputi beras, telur, sayur, gula dan garam diedarkan kepada penduduk setiap hari.

“Barang keperluan ini akan terus dihantar kepada mereka yang menghubungi pusat khidmat tanpa mengambil kira latar belakang keluarga terbabit kerana kita percaya pemohon benar-benar memerlukan,” katanya.

 


Pengarang :